Thursday, March 21, 2024

MUSIM BUNGA BERMULA DI SHANGHAI




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. 

Alhamdulillah telah masuk musim bunga di Shanghai. Bunga pokok-pokok tepi jalan mula menampakkan diri. Sangat memukau mata yang melihat bunga berbagai warna. 


Gambar ini diambil di persimpangan jalan dari rumah di Green Residence ke kedai runcit. Setahu saya nama bunga ini ialah magnolia. Ada yang berwarna merah jambu dan ada yang berwarna putih. Terdapat dua batang pokok berdekatan China Post. 


Perjalanan ke kedai diteruskan untuk membeli bawang besar kerana bercadang memasak nasi lemak untuk berbuka puasa pada 10 Ramadan 1445H.  Setibanya di kedai runcit itu saya bertentang mata dengan seekor anjing hitam yang besar dipegang tali leher rapat berdekatan tuannya. Keadaan kedai runcit yang sempit membuatkan saya berhati-hati mengelak daripada bertembung dengan anjing tersebut. Terus mencapai tiga biji bawang yang besar, empat biji buah limau mandrin dan sebiji lada merah yang besar. Menuju kaunter bayaran dan terus berjalan kaki balik ke rumah. 

Gambar bunga zaleha yang berwarna warni di atas itu juga diambil di tepi jalan menghala balik ke rumah. 


Pokok bunga untuk dijual.


Cuaca musim bunga disini sekitar 15 darjah celcius masih sejuk untuk saya. Cepat-cepat berjalan balik yang mengambil masa slebih kurang 10minit.  Sampai di rumah terus masuk dapur dan masak nasi lemak. Daun nasi lemak beli di aplikasi Taobao, dapatlah kami berbuka dengan nasi lemak dengan bau harum daun pandan. 

Monday, January 15, 2024

Sudah Sebulan Hidup di Shanghai

 Alhamdulillah, hari ini 16 Januari 2024, lebih kurang sebulan lebih telah menetap di Shanghai. 

Aisyah masih belum ke sekolah, RP iaitu Resident Permit telah lulus. Rizal pun dah dapat rutin pergi dan balik kerja setiap hari. Kami adalah expat di China dan semua expat tidak boleh memandu kenderaan bermotor di jalan raya. Memang hakikat yang perlu diterima dengan positif supaya hari-hari seterusnya lebih mudah dilalui. 


Di sini syarikat yang menguruskan tempat tinggal kami masih dalam proses untuk menempatkan kami di kawasan perumahan Green Court, kami memilih tingkat 3 dan blok berdekatan pintu masuk yang ada pengawal keselamatan. Daerah Green City Pudong ini terdapat penempatan Green Villas dan Green Court. InshaAllah pada 24 Januri 2024 akan berpindah dari Le Ville Residence ke Green Court. 


Sementara Aisyah masih homeschool, kami memenuhi masa dengan aktiviti luar rumah. 

Semalam kami menaiki train Metro, dari stesen Yunshun ke stesen Tai'erzhuang, tukar dari line 14 ke line 9. Jumpa park yang cantik, cuaca memang sejuk tambahan kalau ada angin. 

Taman ini pengunjungnya terdiri dari warga China yang sudah berumur, ada yang membawa cucu bermain dan ada yang beriadah dengan muzik yang mengasyikkan. 


Selesai beriadah di taman tersebut kami terus ke kedai di tepi jalan menuju ke stesen Metro, kami membeli buah anggur, pisang, sedikit sayur dan roti. Perjalanan balik diteruskan, tiket keretapi metro perlu dibeli dikaunter layan diri, tiket untuk Aisyah berharga 3Yuan untuk sehala. Kerana sejuknya, hujung jari jadi kebas dan dua kali duit syiling 1yuan terjatuh sebelum selamat masuk ke kaunter layan diri tersebut. Akhirnya dapatlah menaiki keretapi dan terus jalan kaki lagi untuk sampai ke Le Ville Reidence.